Tuesday, 21 June 2011

Treatment pertama selepas bertukar status...

Treatment pertama selepas sekian lama ialah pada 20 June 2011. Itu pun selepas berhempas-pulas berperang dengan perasaan diri sendiri. Aku malu untuk bercerita mengenai keadaan diri aku pada sesiapa pun...hatta kepada doktor sekali pun. 

Selepas perkahwinan kami berusia lebih setahun, dan mengenangkan diri aku dah menginjak ke usia 32 pada tahun ni...maka aku tebalkan muka dan beranikan diri untuk mendapatkan kembali rawatan yang telah tertangguh suatu masa dulu. Aku mengambil keputusan untuk mendapatkan consultation dari sebuah klinik swasta di terengganu yang dicadangkan oleh seorang teman.

Aku masih ingat...masa tu hari isnin, 20 Jun 2011 jam 6.30 petang. Suara aku agak gugup bercerita satu per satu masalah aku kepada doktor yang bertugas. Aku ingat lagi...2 kali doktor tu tanya "Betul awk tak pernah period secara normal? SEKALI PUN?" Aku geleng lemah. Doktor tu tanya sekali lagi.."Secalit darah pun x pernah keluar sendiri tanpa ubat? SETITIK PUN?"...mata doktor tu aku pandang, pastu aku geleng lagi..."Tak pernah doktor..."

Kemudian, doktor tu pun angguk. Dia suruh aku baring di katil dan buat vaginal scan. Masa tu...aku memang dah bersedia...sebab sebelum dapatkan rawatan, aku dah banyak buat bacaan di internet mengenai masalah aku. Oleh sebab aku ni tergolong dalam kategori obes, scan biasa selalunya x nampak jelas..sebab lemak banyak kot. huhu...Jadi, bila doktor kata nak buat vaginal scan...aku tak terkejut sangat dan setuju jer dengan procedure yang dia nak buat tu. Tapi dalam hati...segannya tuhan saja yang tahu. Masa scan tu...doktor kata telur aku banyak...tp kecik2...macam pearl. Kiri dan kanan. 

Katanya orang normal biasanya cuma ada 1 atau 2 telur...tapi dengan saiz yang lebih besar. Melalui scan tu...dr sahkan aku seorang PCOS. Dan soalan jujur yang terkeluar dari mulut aku masa tu..."Doktor..org PCOS mcm saya ni boleh ke mengandung?" Doktor hamidah yang rawat aku tu senyum...dia kata "Ada. Org PCOS pun ada yang boleh mengandung...kdg2..sedar2 jer dah mengandung. Tak perlu makan ubat pun. Depends pada rezeki.". 

Katanya lagi...ada 2-3 kes PCOS yang dapatkan rawatan di klinik tu yang berjaya untuk mengandung. Dan kata-kata itu benar-benar memberikan sinar baru dalam hidup aku! Semoga Allah mengizinkan aku untuk melahir dan membesarkan zuriat dari benih suamiku sebagai penyeri dalam hidup kami. Amin...

Total payment untuk treatment kali pertama ni RM156. Doktor Hamidah berikan aku 4 jenis ubat:
  1. Sunolut - ubat ni berfungsi untuk turunkan darah period. Kena makan sebiji sehari selama 5 hari.
  2. Metformin - sebenarnya ubat untuk pesakit diabetes tp didapati dapat menolong pesakit PCOS untuk menurunkan sedikit berat badan mereka. ubat ni aku kena ambik 2 kali sehari selepas makan (bekalan untuk sebulan).
  3. Duphaston - Kata doktor, ubat ni yang mahal sikit...tak tahu laa berapa harganya. Tapi ubat ni diberi satu tab..ada dalam 20 biji kalau tak silap. Kena makan masa hari ke-5 hingga hari ke-25. Ubat ni kata doktor untuk regulate kan period aku. Kalau tak makan ubat ni...period aku takkan datang katanya.
  4. Clomid - Dos yang diberi untuk permulaan ni 50mg. Makan start hari ke-2 hingga hari ke-5 period. Ini pil subur..berfungsi untuk matangkan telur aku yang kecik2 tu. 
Satu perkara yang membezakan klinik dr hamidah ni berbanding klinik swasta yang aku pernah tahu ialah...dia sentiasa memantau kes pesakit2nya. Selesai consultation, aku diberikan satu date appoinment yang baru untuk doktor monitor perkembangan dan respons badan aku terhadap ubat yang dah diambil. 

Next appoinment ialah pada 12 Julai 2011 (Selasa/ jam 6.30 ptg) Semoga Allah memberkati segala usaha yang telah dan bakal aku lakukan...amin.

Thursday, 2 June 2011

Aku seorang PCOS (Polysystic Ovary syndrom)


(Gambar hiasan sahaja)
Mesti ramai yang tak tahu pcos tu apa (sila refer kepada post yang sebelum ini). Macam aku, tanda2 tu banyak. Aku ada kumis halus kat atas bibir yang agak lebat...badan aku pun cepat naik  dan cepat turun...period tak teratur (dalam kes aku...aku  memang tak pernah period secara biasa. Makan ubat, baru period. Kadang2 rasa macam cacat pun ada...huhuhu..) 

Masa zaman awal remaja dulu, aku selalu rasa rendah diri sebab langsung tak boleh berkongsi pengalaman pasal period. Selalunya aku akan dengar jauh2 jer bila kawan2 buka topik ni, sebab aku takut kena tanya. Apa aku nak cerita? sebab memang aku takde apa yang nak diceritakan. Masa tu aku selalu berdoa kepada Allah supaya aku dapat merasai sendiri pengalaman tersebut seperti orang lain. Pada ketika itu, itulah doa yang tak pernah lekang dari hati aku setiap kali selesai solat.

First period aku adalah ketika aku berusia 20 tahun. Itu pun selepas aku jumpa doktor pakar sakit puan dan diberi ubat untuk turun darah. Sebelum tu darah aku diambil untuk diperiksa kadar hormon. Kata doktor, hormon aku nampak tidak ada perbezaan yang ketara. Cuma hormon prolaktin agak tinggi sedikit tetapi tidaklah sampai memudaratkan. Masa tu dia cuma cakap aku ni ada sindrom "Lazy Ovary". Doktor bagi aku ubat perancang untuk 3 cycle untuk regulate kan menses. 

Pil perancang tu aku makan selama 3 bulan seperti nasihat doktor...period aku datang dan masa tu aku rasa sangat bersyukur dan gembira sebab akhirnya aku dapat rasa apa yang selama ni aku TAK PERNAH rasa. Selepas berhenti makan ubat perancang tu, period aku datang untuk bulan ke-empat. Selepas tu keadaan kembali seperti sebelumnya...kembali menyepi. Bulan berikutnya aku jumpa semula doktor yang sama...doktor cakap aku ada 2 pilihan. Samada nak teruskan rawatan dengan mengambil ubat, atau pun nak continue rawatan selepas kawin. Ketika itu aku masih terlalu muda...tak terfikir pula pasal masalah infertility atau sebagainya. yang aku tahu..aku belum ada boyfriend...pasal kawin pun langsung tak pernah terfikir. 

Perjalanan aku masih panjang. Mengenangkan PCOS hanya boleh dirawat, bukan diubati... jadi pada ketika tu, aku buat keputusan untuk dapatkan rawatan selepas kawin. Jika aku meneruskan rawatan, pastinya aku akan bergantung kepada ubat untuk tempoh  yang lama. Dan aku percaya, setiap ubat yang diambil pasti ada kesan sampingan tersendiri jika diambil secara berterusan. Tambah pula...aku fikir, teknologi perubatan di masa akan datang pasti lebih maju berbanding pada masa itu. Dengan itu, aku mengambil keputusan untuk memberhentikan rawatan dan kembali menjalani "kehidupan suci" aku sebagai seorang PCOS. Aku redha dengan segala apa yang telah dikurniakan oleh-NYA. Biarpun hanya seketika, doaku untuk merasai pengalaman itu telah dimakbulkan oleh Allah. Alhamdulillah.. :)

Wednesday, 1 June 2011

PCOS tu apa?

Kat bawah ni ada aku cari sikit bahan mengenai pcos untuk dikongsi bersama.

SINDROM
Ovari polisistik merupakan satu keabnormalan yang tercetus daripada keganjilan paras hormon-hormon tertentu. Wanita yang mengalami sindrom ini mempunyai haid yang tidak teratur dan kadangkala tidak ada haid langsung. 

Walaupun sindrom ini boleh memudaratkan wanita, rawatannya tetap ada. Artikel ini akan membincangkan mengenai apakah sindrom ovari polisistik, bagaimana ia didiagnos dan cara rawatannya.

Permasalahan
Wanita yang menderita sindrom ini memang dilahirkan dengan situasi telur sebegitu. Cuma, manifestasi petandanya jelas pada umur yang meningkat. Boleh dikatakan sindrom ini mempunyai talian kekeluargaan di mana anak-anak pun mungkin juga akan mewarisi sindrom ini.

Pemahaman masalah melalui pemahaman hormon-hormon reproduksi 


Setiap bulan, folikel yang mengandungi telur, menjadi matang dan dibebaskan dari ovari seseorang wanita. Sekiranya persenyawaan berlaku di antara telur dan sperma, wanita tersebut akan mengandung.

Sekiranya tiada persenyawaan, ataupun proses tersebut gagal, lapisan dalam rahim iaitu endometrium akan terhakis dan dikeluarkan sebagai pendarahan haid.

Hormon-hormon utama wanita 

*Hormon perangsang folikel dan hormon luteinisasi dikilangkan di kelenjar pituitari yang berada di dasar otak. Hormon perangsang folikel merangsang kematangan telur di dalam ovari manakala hormon luteinisasi pula merangsang supaya telur tersebut dikeluarkan dari ovari tersebut.

* Ovari menghasilkan hormon-hormon estrogen dan progesteron. Estrogen menyebabkan lapisan dalam rahim iaitu endometrium, menebal. Selepas ovulasi, paras progesteron yang tinggi akan menyebabkan pembuluh darah membengkak seterusnya perubahan lain yang bertujuan sebagai persediaan mengandung.

Hari pertama kedatangan haid dilabelkan sebagai Hari Pertama. Purata kitaran haid wanita lebih kurang 28 hari, termasuklah pendarahan yang berlaku selama lima hingga tujuh hari. Walau bagaimanapun, kitaran haid berubah-ubah dari 23 hingga 35 hari.

Dalam kebanyakan kes, hormon perangsang folikel dikeluarkan mencukupi untuk kehadiran satu folikel yang kemudiannya akan mengeluarkan telur dari ovari apabila matang. Lain pula halnya dengan sindrom ovari polisistik. Walaupun mempunyai banyak folikel, proses kematangan tidak berlaku dan tentu sekali telur tidak akan dikeluarkan. 

Disebabkan tidak ada pengeluaran telur, paras hormon progesteron menjadi rendah manakala paras hormon estrogen dan androgen menjadi tinggi mengakibatkan pendarahan haid menjadi tidak teratur.

Insulin
Insulin juga memainkan peranan dalam sindrom ovari polisistik. Ramai wanita yang menderita sindrom ini mempunyai paras hormon insulin yang tinggi ataupun insulin yang dikeluarkan tidak berupaya untuk menjalankan tugasnya dengan cekap.

Ini mungkin menjadi salah satu penyebab kenapa wanita yang mengalami sindrom ini mempunyai berat badan melebihi berat sepatutnya bagi umur mereka. Selain itu, mereka mungkin turut mengalami kesukaran untuk mengurangkan lebihan berat badan. Mereka akan cenderung ke arah penyakit kencing manis.

Kehadiran insulin berlebihan akan mengganggu tumbesaran folikel-folikel di dalam ovari, lambat-laun ovari akan membesar disebabkan oleh banyaknya folikel yang dikandung.

Risiko jangka panjang 

Sindrom ini juga dikaitkan dengan penyakit jantung, kencing manis dan juga tekanan darah tinggi. 

Kehadiran estrogen yang tinggi berpanjangan, tanpa timbal balik rangsangan hormon progesteron, meningkatkan risiko tumbesaran lapisan dalam rahim secara melampau. Masalah ini lama-kelamaan akan menyebabkan hiperplasia endometrium yang seandainya tidak dirawat akan mendedahkan wanita kepada kejadian barah rahim.

Rungutan dan tanda-tanda 
Perlu diingat, perubahan hormon mungkin bermula ketika kitaran haid yang pertama, mungkin juga berlangsung dengan peningkatan usia.

lKehadiran bulu-bulu dan rambut-rambut kemiripan lelaki di muka dan juga badan. Faktor bangsa turut mempengaruhi

*Jerawat

*Kulit menjadi kegelapan dan menebal di bahagian leher, ketiak, kawasan di tepi faraj kedua-dua paha dan juga permukaan sebelah dalam paha

*Gemuk atau berat badan melebihi berat yang bersesuaian dengan umur dan ketinggian

*Kehadiran haid yang tidak menentu ataupun tidak datang haid langsung

*Sukar untuk mengandung

*Infeksi/jangkitan yis/fungus/kulat di faraj

*Mungkin juga kehilangan atau keguguran rambut keterlaluan.

Diagnosis
Doktor akan menjalankan pemeriksaan kesihatan, sejarah dan juga fizikal. 

Kitaran haid akan ditanya secara terperinci, sejarah keluarga termasuk kakak-kakak, adik-adik perempuan dan ibu, akan dihalusi. Ujian darah termasuk paras-paras hormon tertentu, glukosa darah dan mungkin juga paras insulin akan dikaji.

Ujian ultrasound akan dijalankan semasa seseorang sedang mengalami datang bulan untuk merekodkan morfologi ovari, juga ketebalan dinding rahim iaitu endometrium, akan diukur.

Rawatan
Sindrom ini merupakan satu situasi yang berkekalan. Rawatan bergantung kepada rungutan dan juga sama ada puan berhasrat untuk mengandung. 

* Perubahan tatacara kehidupan. Ini bertujuan merendahkan paras hormon insulin, bersenam dan beriadah setiap hari boleh membantu (sekurang-kurangnya 30 minit sehari).

Pengurangan berat badan juga boleh menurunkan paras insulin bagi membolehkan pengeluaran telur dari ovari. Ia juga membantu mengurangkan kehadiran rambut-rambut dan bulu-bulu ke arah kelakian dan seterusnya merendahkan risiko hiperplasia dinding rahim. 

Pola pemakanan juga perlu dijaga. Kurangkan makanan yang kaya dengan karbohidrat di samping mengurangkan pengambilan gula. Pakar pemakanan boleh membantu untuk mengurangkan berat badan melalui pemakanan tertentu.

* Secara perubatan.

Untuk mereka yang haidnya tidak teratur, hormon progesteron ataupun pil perancang keluarga mungkin membantu. 

Bagi mereka yang berhasrat untuk mengandung pula, perawatan yang diberikan tumpuan adalah supaya kematangan telur berlaku dan seterusnya boleh dikeluarkan untuk disenyawakan. 

Ubat-ubatan lain mungkin turut dipreskripsi bagi mengawal serta merendahkan paras insulin badan. Ubat-ubatan lain yang mungkin diberikan bertujuan untuk melambatkan tumbesaran rambut-rambut dan bulu-bulu mirip kelakian. 

Bagi mengatasi masalah kehadiran rambut dan bulu yang sedia ada, kaedah-kaedah kosmetik disyorkan seperti bercukur, elektrolisis dan kaedah-kaedah lain yang terdapat di salun-salun kecantikan.